? ??????????????Blue Graffiti? ????? ?? ???Rating: 4.7 (46 Ratings)??67 Grabs Today. 10940 Total Grabs. ??
????Preview?? | ??Get the Code?? ?? ?????Paradismal? ????? ?? ???Rating: 4.8 (40 Ratings)??67 Grabs Today. 17005 Total Grabs. ??????Preview?? | ??Get the Code?? ?? ???????????? ????E BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Mutiara Kata Nabi Muhammad

Syeikh Hassan Habannakah al-Maydani-(1908-1978M) Tokoh Ulama dan Pembina Para Pendakwah di Syria

Al-Maydan merupakan satu kawasan yang penduduk Arab yang asal dan amat memelihara syiar Islam dan tradisi Arab.  Kawasan  ini dinamakan al-Maydan kerana pada zaman dahulu ia merupakan tempat perlumbaan kuda. Dalam kawasan ini terdapat tiga masjid yang terkenal iaitu Masjid bab al-Musolla,  Masjid Manjak iaitu masjid yang dibina dibina oleh seorang pemerintah yang bernama Manjak dan Masjid Sayyidi Suhaib iaitu nisbah kepada sahabat yang bernama Suhaib al-Rumi yang dimakamkan berdekatan di situ bersama dengan para sahabat yang lain.
 
Namanya ialah Hassan bin Marzuq bin Arabi bin Ghunaim dan gelaran bagi keluarganya ialah Habannakah dan dikenali sebagai al-Maydani nisbah kepada kawasan kediamannya. Asal keturunan keluarga ini nisbah kepada bani Khalid yang tinggal di perkampungan Hamat kemudian berpindah ke kawasan al-Maydani di Damsyik. Habannakah adalah dari perkataan orang badwi habakah yang bermaksud berjanji dan percaya.
 
Sebahagian dari pengunaan badwi di Jordan mengatakan ia bermakna suka kepada pertemuan. Beliau dilahirkan pada 1908M dan meninggal pada 15 Oktober 1978M. Menurut  laporan akhbar, semasa kematiannya angka orang yang mengiringi jenazahnya dari Masjid Umawi ke tanah perkuburan sebanyak 600 ribu orang.
Keluarga Hassan merupakan keluarga pengembala kambing  di samping bekerja sambilan sebagai petani dan berniaga. Keluarganya bukanlah keluarga ulama dan fuqaha tetapi keluarga yang dibesarkan dalam suasana pengembala dan penjual kambing. Bapanya Marzuq merupakan seorang yang sentiasa solat berjamaah dan bangun sebelum fajar untuk beribadat dan sentiasa berharap anaknya Hassan menjadi seorang ulama.
Ibunya bernama Khatijah yang wanita solehah berasal dari al-Kiswah di selatan Damsyik iaitu 16KM dari bandar Damsyik. Marzuq dan isterinya dikurniakan  enam anak, empat lelaki dan dua orang perempan. Hassan telah dihantar oleh bapanya ke kuttab  yang dikendalikan oleh Syeikh Sharif al-Ya’qubi dan apabila tamat, beliau belajar dengan Syeikh Talib Haikal. Beliau belajar nahu, saraf dan fiqah Syafi’i. Beliau juga belajar dengan  Syeikh Abdul Qadir al-Ashab.

Apabila mencapai usia baligh, bapanya  inginkan Hassan berkahwin dan dia telah mengahwinkan Hassan dengan gadis yang berusia 14 tahun bernama Nazimah binti Ibrahim al-Sudan dan tinggal di rumah bapanya Marzuq. Pada masa yang sama, dia meneruskan pengajian dengan ulama-ulama di Damsyik. Mereka dikurniakan 12 anak. Antaranya Abdul Rahman yang dilahirkan pada tahun 1927M dan meninggal dunia pada 2004M.

Antara guru-gurunya ialah Syeikh Abdul Qadir al-Ashab, Syeikh Talib Haikal, Syeikh Mahmud Attar-seorang ahli fiqah Hanafi, Syeikh Amin Suid-Seorang fiqah Hanafi, Syeikh Badaruddin al-Hasani-belajar Hadis dan Syeikh Ali al-Daqr. Antara anak muridnya ialah Syeikh Abdul Kurayyim al-Rajih, Abdul Rahman al-Tibbi, Syeikh Najif al-Abbas, Wahbah al-Zuhaily,  Muhamad Said Ramadan al-Buti, Musrafa al-Khin dan Syeikh Abdul Rahman Habannakah (anaknya)

Hassan merupakan seorang pendidik. Beliau sejak muda lagi mengajar dan mendidik pelajar-pelajar menjadi seorang pendakwah dan ulama. Beliau mengajar pelbagai ilmu Islam seperti nahu, balaghah, ilmu tafsir fiqah Syafi’i, usul fiqah dan hadis. Beliau mempunyai bilik khusus di Masjid Manjak untuk menelaah buku, berjumpa dengan pelajar dan perjumpaan dengan orang ramai.

Beliau akan keluar dari biliknya untuk solat berjamaah dan mengajar serta memberi khutbah Jumaat. Di samping itu, bilik tersebut juga merupakan tempat beliau bertemu dengan rakan-rakannya serta bekas-bekas pelajar yang ingin menziarahinya.  Hassan akan mengajar dalam waktu berikut :
i. Selepas solat Subuh sehingga terbit matahari (waktu dhuha). Pada waktu ini beliau mengajar umum yang meliputi kanak-kanak dan orang awam seperti kitab hadis dan sirah.
ii. Setelah bersarapan, beliau akan mengajar kepada pelajar dewasa sehingga hampir waktu zuhur.

iii. Selepas waktu Zuhur sehingga Asar adalah waktu bebas bagi pelajar-pelajarnya.
iv. Setelah waktu Asar- kelas kanak-kanak yang diajar oleh pelajar-pelajar syeikh Hassan yang dewasa. Apabila tamat, beliau akan mengajar pelajar-pelajar dewasa sehingga azan Maghrib. Beliau akan mengajar Mughni al-Labib karangan Ibn Hisham (Nahu), Mughni al-Muhtaj karangan Khatib al-Sharbini.(Fiqah). Kadang-kadang beliau akan membawa pelajar-pelajarnya ke taman bersebelahan masjid dan mereka akan membaca di situ sambil bermain dan minum. Pada waktu ini juga mereka berpidato dan menulis karangan.

v. Selepas Maghrib –beliau akan mengajar kuliah umum dan setelah Isyak akan mengajar  kepada orang tidak sempat belajar pada waktu siang disebabkan bekerja.

Apabila tamat pengajian, beliau akan pulang ke rumah atau ke biliknya di Masjid untuk tidur. Pada waktu usia mudanya, beliau banyak bermalam di masjid untuk membaca, menelaah dan beribadat. Apabila usia menjangkau 50an, keadaan tidak mengizinkan beliau untuk bermalam di masjid. Tambahan pula dengan tugas yang semakin banyak dengan isu-isu semasa dan menjadi pemimpin kepada ulama-ulama di Syria dalam melawan golongan anti Islam.

Pada tahun 1946M, beliau menubuhkan Persatuan al-Tawjiah al-Islamiah. Beliau menjadi Pengerusi, Sadiq Habannakah menjadi Timbalan Pengerusi, Abdul Rahman Habannakah menjadi Setiausaha dan Husain al-Khatib menjadi ahli jawatankuasa. Persatuan ini bertanggungjawab menubuhkan sekolah yang dinamakan Kolej al-Tawjiah al-Islamiah.
Sekolah ini telah berkembang pesat dan jumlah pelajar  seramai 500 orang ketika ia diberhentikan kendaliannya oleh pihak kerajaan pada tahun 1967M. Pengajian sekolah ini terbahagi kepada dua iaitu :
i.  Golongan yang belajar sepenuh masa dan mereka ini tinggal di dalam kolej tersebut dan pembiayaan dari pihak kolej.
ii.    Golongan yang bukan sepenuh masa  dan mereka ini akan menghadiri pengajian umum pada waktu pagi, selepas Maghrib dan Isyak.

Hassan juga menubuhkan kolej yang khusus untuk pelajar wanita dengan membeli sebuah rumah yang besar  dari Haji Dib al-Barqali untuk dijadikan pusat pengajian.

Antara orang yang bertanggungjawab dalam menjayakan kolej ini ialah :
i.Syeikh Sadiq Habannakah yang sentiasa berdampingan Hassan Habannakah dalam membina kolej ini. Beliau sentiasa mengambil berat mengenai pelajar sehingga sanggup datang pada waktu tengah malam untuk mengubati pelajar-pelajar yang sakit.
ii.Syeikh Husain Khatib. Beliau pada mulanya merupakan pelajar Hassan dan merupakan pembaca kitab dalam halaqah Syeikh Hassan. Beliau belajar dengan Syeikh Hassan sehingga menjadi seorang guru dan khatib
iii. Syeikh Naim Syaqir- Seorang kumpulan pertama yang belajar dengan Syeikh Hassan. Beliau dilantik untuk menjadi ketua dalam aspek pembangunan pelajar.
iv. Syeikh Khir Yasin-seorang yang bertanggungjawab dalam memasak. Beliau juga akhirnya menjadi seorang ulama dan khatib di masjid di sekitar Damsyik.

Hassan juga mengadakan halaqah ilmu  di Masjid Umawi di Damsyik terutama di bulan Ramadan. Beliau akan mengajar di situ setiap hari sepanjang bulan Ramadan. Minatnya dalam ilmu terserlah sehinggalah akhir hayat.  Apabila kerajaan melarang pengajian kolejnya, beliau terus mengajar di rumah selepas subuh atau sebelum Zuhur dan selepas Asar.
Beliau juga mengadakan halaqah dengan anak muridnya yang telah menjadi khatib dan ulama seminggu sekali. Majlis ini dihadiri oleh Syeikh Husain Khatib, Abdul Karim Rajih, Abdul Razaq al-Halabi dan Sadiq Habannakah. Beliau sentiasa menghadiri majlis tersebut sehingga meninggal dunia.

Rumahnya bukan sekadar tempat pengajian tetapi juga tempat tumpuan aktiviti kemasyarakatan dan ummat.
 
i.    Rumahnya merupakan tempat aktiviti pembelajaran dengan majlis-majlis ilmu.
 
ii.    Rumahnya  menjadi tempat tumpuan orang ramai bertanyakan fatwa
 
iii.    Rumahnya juga merupakan tempat penyelesaian masalah konlik masyarakat terutama  isu-isu keluarga.
 
iv.    Rumahnya merupakan tempat mesyuarat dan perundingan bagi masalah masyarakat dan politik.
 
v.    Rumahnya merupakan tempat pertemuan ahli dan pemimpin politik bagi meminta pandangan dan nasihat.

Hassan merupakan seorang yang penyabar, sangat bertoleransi  dan sentiasa memelihara ukhuwah. Beliau sentiasa menziarahi orang yang meninggal dunia, menghadiri majlis walimah yang diadakan serta menziarahi orang yang sakit. Oleh sebab itu, semasa kematian, ratusan ribu orang yang menziarahinya kerana sifat pemurah dan kasih sayangnya  dalam kegembiraan dan kedukaan orang ramai.

Antara sifatnya, beliau sentiasa menghormati dan memuliakan ulama seperti  menghormati Syeikh Khidir Husein, Syeikh al-Azhar, menghormati keluarga keluarga al-Kitani yang terdiri daripada Syeikh al-Zamzami, Syeikh Muhammd Makki al-Kitani, Abu Hassan Ali al-Nadwi dan Abdul Halim Mahmud. Antara takdir Allah bahawa kematian Syeikh Abdul Halim Mahmud selepas beberapa jam kematian Syeikh Hassan pada tahun 1978M.

Apabila Syeikh Muhamad Makki meninggal dunia, maka para ulama Syria mempunyai pelbagai pandangan bagi mengantikan beliau. Mereka mencalonkan beberapa orang ulama termasuk Hassan Habannakah. Lalu pihak istana di bawah Raja Malik Faisal bin Abdul Aziz  telah memilih Hassan Habannakah untuk menganggotai Rabitah al-Alam al-Islam padfa 8 Januari 1974M.
 
Beliau memegang jawatan tersebut sehingga meninggal dunia pada tahun 1978M. Dalam Rabitah, beliau bukan sekadar memberi idea dan pandangan tetapi juga memastikan idea dan keputusan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Hassan juga terkenal sebagai seorang yang tegas dalam pendirian terutama apabila melibatkan syariat Islam. Beliau tidak menggunakan agama untuk tujuan politik atau untuk mendapatkan jawatan. Menurutnya, menggunakan agama untuk memenuhi tujuan politik merupakan satu jenayah kepada Islam dan ini menyebabkan perbezaan beliau dengan beberapa orang yang berada dalam medan dakwah.

 Apabila Syeikh Tajuddin al-Hasani bin Badaruddin al-Hasani menjadi Presiden Syria semasa dibawah penjajahan Perancis, beliau telah melawat Hassan Habannakah di biliknya di Masjid Manjak. Tajuddin pergi ke bilik Hassan tanpa diiringi oleh sesiapa dan dia pergi pada waktu antara Maghrib dan Isyak.
 
Bilik Hassan terletak di tingkat dua di dalam masjid tersebut dan Tajuddin terpaksa naik melalui tangga yang uzur dan keadaan cahaya yang samar. Tambahan pula Tajuddin seorang yang berbadan besar dan sakit di kakinya. Ketika dia masuk ke bilik Hassan, beliau sedang solat sunat dan didapati tiada kerusi lalu meminta anak murid Hassan bagi mendapatkan kerusi untuk  membolehkan dia duduk.
 
Apabila Hassan  selesai solat, beliau memberi salam kepada Presiden Tajuddin dan menyambutnya dengan mesra kerana Tajuddin merupakan anak gurunya Syeikh Badaruddin al-Hasani. Apabila selesai, beliau terus meninggalkan tempat tanpa diiringi oleh Hassan ke pintu Masjid seperti yang dilakukan oleh bapanya Syeikh Badaruddin al-Hasani. Perkara ini disebabkan bagi memelihara kemuliaan para ulama.

Pada masa pemerintahan Presiden Syria Syukri al-Qawatili, beliau selalu menziarahi tempat untuk menunaikan solat Jumaat. Antara masjid yang diziarahinya ialah Masjid Manjak  yang Syeikh Hassan menjadi imam. Syukri al-Qawatili datang  dan duduk di barisan pertama seperti para jamaah yang lain. Syeikh Hassan bangun menyampaikan khutbah dan menyebutkan mengenai kegemilangan generasi umat Islam yang pertama, tugas para pemimpin dan kewajipan mereka memelihara agama dan rakyat ke arah keredaan Allah.
 
Beliau juga menceritakan kisah Umar bin Khatab  yang keluar pada waktu malam menyelidiki keadaan rakyat dan sanggup menangung guni tepung untuk diberikan kepada keluarga yang miskin. Tidak ada dalam khutbah untuk memuji pemerintah atau menyebutkan nama presiden kepada hadirin.
 
Setelah itu bangun Presiden Syukri setelah selesai solat Jumaat memberi ulasan kepada khutbah yang disampaikan oleh Syeikh Hassan : “semoga saya termasuk dalam orang yang mengambil  salah satu  pengajaran dari pengajaran-pengajaran Umar bin Khatab”. Beliau juga memuji Hassan atas nasihat tersebut. Kemudian beliau bersalam dengan Syeikh Hassan di Mihrab dan terus keluar tanpa Syeikh Hassan mengiringi ke pintu masjid. Syeikh Hassan terus berada di mihrab.
 
Begitulah keadaan apabila Presiden Syukri datang dan Syeikh Hassan terus dengan cara penyampaian khutbahnya. Presiden Syukri juga sering berjumpa dengan Syeikh Hassan untuk meminta nasihat dan sepanjang pemeritahan Presiden Syukri beliau tidak pernah meminta habuan dan mengambil kesempatan untuk diri atau untuk kolej yang dibinanya. Syeikh Hassan adalah seorang yang memelihara diri untuk meminta sesuatu dari pemerintah sama ada untuk diri atau sekolahnya.

Pada tahun 1965M, pihak pemerintah Ba’ath di bawah Jeneral Amin Hafiz telah memperkenal sistem sosialis dan ini menimbulkan penentangan dari kalangan ulama. Syeikh Hassan telah dipanggil untuk berjumpa dengan Presiden Amin dan beliau mengatakan pendiriannya menolak sistem tersebut.
 
Akhirnya pihak pemerintah telah melucutkan jawatan beliau sebagai imam dan  dilarang berkhutbah. Namun akhir, rakan-rakan Amin Hafiz dalam partinya telah mengulingkan beliau dan membunuhnya. Sementara Ahmad Suwaidan, ketua bahagian Perisikan dipenjara oleh rakan-rakan dalam parti. Beberapa tahun kemudian, ia dimasukkan ke Hospital sakit jiwa dan mengalami sakit jiwa sepanjang hayat.

Pada April tahun 1967M, beliau ditangkap oleh pihak pemerintah parti Ba’ath. Perkara ini dilakukan kerana ingin menutup kelantangannya dalam menentang sistem komunis di Syria. Beliau dipenjara bersama anaknya yang bernama Muhamad sementara adiknya syeikh Sadiq ditahan dalam tahanan di Halbuni. Antara takdir Allah, tempat beliau dipenjara itu adalah bilik yang pernah Ibn Taimiyyah dipenjarakan.
 
Pada keesokan harinya, pihak pemerintah mengharamkan persatuan Tawjiah al-Islam serta sekolah-sekolah dibawah kendaliannya. Beliau dibebaskan pada Ogos 1968M, apabila Israel menyerang Mesir dan Syria yang menyebabkan Bukit Golan dan Sinai jatuh kepada Israel. Pihak Mesir dan Syria mengalami kekalahan dalam peperangan tersebut.
 
Peperangan tersebut dikenali dengan Perang Ayyam al-Sittah (perang enam hari). Menurut Abdul Rahman, apabila Syeikh Hassan dipenjara ribuan rakyat di Syria berdoa dan Allah memakbulkan doa mereka dengan menghancurkan pemerintahan sosialis dengan kejatuhan di tangan Israel.

Beliau juga antara orang yang bertanggungjawab membebaskan Syeikh Said Hawwa, ketua Ikhwan Muslimin di Hamat apabila beliau berjumpa dengan Hafiz al-Asad dan meminta Said Hawwa dibebaskan. Beliau mengatakan kepada Presiden Hafiz bahawa Said merupakan seorang yang alim dan menyeru kepada agama Allah dengan penuh keikhlasan  dan saya tidak mengenali sifatnya kecuali penuh dengan kebaikan.
 
Akhirnya Said Hawwa dibebaskan dan berhijrah ke Arab Saudi. Syeikh Hassan menjadi penghubung antara rakyat dengan Presiden Hafiz apabila rakyat tidak berpuas hati terhadap sesuatu isu. Presiden juga selalu meminta nasihat daripada Syeikh Hassan.

Menurut anaknya Abdul Rahman Habannakah, ketika bapanya meninggal dunia beliau berada di Mekkah kerana bekerja sebagai pensyarah di Ummul Qura dan beliau tidak sempat kerana tiba di Damsyik pada waktu malam setelah bapanya dikebumikan. Syeikh Hassan meninggal dunia pada pagi 16 Oktober 1978M. Setibanya di lapangan kapal terbang, orang ramai mengatakan bahawa jalan dari Masjid Umawi ke Maydan penuh sesak bagi mengiringi jenazah Syeikh Hassan.

Abu Hassan al-Nadwi telah mengutus surat takziah dan mengatakan bahawa beliau mempunyai hubungan yang akrab dengan Syeikh Hassan. Perkenalan bermula apabila ia menziarahi Damsyik pada tahun 1369H dan menziarahinya dirumahnya. Pada kunjungan kedua pada tahun 1956M, al-Nadwi telah menziarahi dan menghadiri majlis-najlis ilmu yang dikendalikannya sepanjang berada di sana.
 
Antara kehormatan beliau kepada saya ialah kehadirannya ke persidangan yang diadakan di Lacknow, India  tiga tahun yang lalu sebelum kematiannya. Dia merupakan seorang ulama yang tidak mungkin dapat dilupakan dalam sejarah moden.

Kesimpulan

Syeikh Hassan Habannakah adalah tokoh ulama yang berani dan berhikmah dalam berdakwah. Keseluruhan hidupnya adalah untuk Islam dan mengajar orang ramai setiap hari sehingga beliau meninggal dunia. Kolej yang dibinanya telah melahirkan ramai ulama dan pendakwah di bumi Syria kini. Walaupun ia tidak mengarang buku yang banyak tetapi beliau mengarang manusia.
 
Antara anak muridnya yang menjadi tokoh ulama seperti Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha (pengarang fiqah Manhaji), Muhamad Said Ramadan al-Buti dan Abdul Karim Rajih. Beliau tidak pernah berganjak dari pendirian walaupun terpaksa berdepan dengan risiko dipenjara dan dibunuh. Beliau juga tidak pernah mengambil kesempatan melalui hubungan dengan pemerintah untuk mengaut keuntungan duniawi dan tidak pernah mengharap sesen pun dari wang pemerintah dalam dakwahnya.

Halwa Telinga